Menjelangnya Ramadan, Bulan Mulia

 

Khutbah Jumaat

Majlis Ugama Islam Singapura

6 Ogos 2010 / 25 Sya’ban 1431

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t..  Laksanakanlah perintah-Nya. Tinggalkanlah segala larangan-Nya.  Semoga bulan Ramadan yang bakal menjelang nanti, kita bakal berjaya menjadi antara hamba-hamba Allah yang bertakwa kepada-Nya, sehingga berjaya di dunia dan di akhirat nanti.

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Izinkan khutbah ini dimulakan dengan sebuah kisah. Kisah  seorang suami yang pada suatu malam berehat di pembaringan di samping isterinya yang amat dikasihi.  Tiba-tiba si suami berkata, “Izinkan aku beribadah pada malam ini, wahai isteriku.” 

Si isteri menjawab, “Aku sebenarnya merasa senang sekali berada dekat denganmu suamiku, tetapi aku lebih senang melihatmu melakukan apa yang kamu senangi.” 

Dengan itu, si suami lalu bangkit mengambil wudu’, lantas mendirikan solat.  Dia menangis sepanjang dia berdiri dalam solatnya itu, hingga basah wajahnya dengan linangan air mata. 

Dalam rukuk juga dia menangis. Dalam duduk juga dia menangis. Dalam sujudnya juga dia menangis, sehingga basah hamparan bumi disirami airmatanya. 

Demikianlah keadaan si suami ini sepanjang malam hingga tiba waktu subuh, sambil diperhatikan oleh isterinya dengan penuh rasa prihatin.

Si suami di dalam kisah ini, saudara-saudara sekalian, tidak lain dan tidak bukan, adalah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., sementara isterinya pula adalah Sayyidatina ‘Aishah r.a. 

Sayyidina Bilal r.a. lalu tiba untuk melaungkan azan subuh.  Apabila dilihatnya begitu keadaan Nabi menangis dalam solatnya, Bilal r.a. lalu bertanya, “Kenapa kamu menangis begitu sekali, ya Rasulullah, sedangkan Allah telah mengampunkan segala dosamu yang lalu dan yang akan datang?”  Nabi s.a.w. menjawab:

Yang bermaksud:  “Maka apakah tidak patut untuk aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?” Hadith riwayat Ibnu Hibban.

Subhanallah!  Maha Agung Allah yang telah menjadikan hati sanjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., hati yang paling mulia di kalangan sekalian manusia.  Hati yang sentiasa merasa malu untuk tidak mengabdikan diri kepada Tuhannya, biarpun dia dikurniakan kemuliaan yang paling besar yang tidak diberikan kepada mana-mana manusia.

Hati yang ingin bersyukur kepada Tuhannya sepanjang masa, biarpun telah dijamin Tuhan tempatnya di dalam syurga. Hati yang tidak pernah rasa cukup untuk merangkul cinta dan pengampunan Tuhannya, biarpun telah dijanjikan pengampunan oleh Allah s.w.t.

Nah!  Saudara-saudara sekelian, cuba seterusnya kita bayangkan. Kalaulah begitu keadaan hati Baginda, pengabdian dan kesyukuran Baginda, sepanjang minggu, sepanjang bulan, dan sepanjang tahun, bagaimana pula agaknya ibadah dan amalan Baginda apabila tiba musim ganjaran satu amalan sunnah, sama seperti ganjaran satu amalan wajib dalam musim yang lain?  Ganjaran satu amalan wajib pula adalah seperti ganjaran tujuh puluh amalan wajib dalam musim yang lain.

Bagaimana agaknya keadaan Baginda s.a.w. bila tiba musim yang penuh terisi dengan rahmat dan cinta Allah, dengan maghfirah dan pengampunan Allah?  Musim di mana dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka? 

Bagaimana agaknya keadaan Baginda s.a.w. bila tiba musim terdapat satu malam yang kelebihannya mengatasi seribu bulan?

Saudara-saudaraku, umat Nabi Muhammad s.a.w,

Anugerah Allah yang bernama Ramadan akan datang menemui kita beberapa hari lagi.  Marilah, saudara-saudara sekalian, kita membuat persiapan untuk menyambutnya. 

Tanyalah kepada hati kita ini.  Adakah ketibaan Ramadan kita nantikan dengan penuh kecintaan dan kerinduan di dalam hati?  Kerana kita merasakan Ramadan ini hadiah Allah untuk kita, lantaran rahmat dan kasih-Nya kepada kita, sehingga dijanjikan pengampunan di atas segala dosa-dosa kita?

Atau apakah Ramadan ini kita anggap sebagai bebanan yang hanya menyusahkan hidup kita?  Yang kita tidak nampak sebarang kebaikan pun disebaliknya?  Lalu dengan itu hadiah yang ingin Allah beri ini kita sambut dengan rasa benci di dalam hati dan sikap tidak peduli?

Sidang Jumaat sekelian,

Saya ingin mengajak diri saya sendiri, dan semua yang mendengar khutbah ini, untuk kita persiapkan diri menyambut Ramadan yang mulia.  Firman Allah s.w.t. di dalam ayat 183 surah al-Baqarah:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.”

Ayuh, saudara-saudara sekelian!  Kita jadikan ayat ini sebagai panduan persiapan kita.  Ayat ini dimulakan dengan kalimah                                    

               “wahai orang-orang yang beriman”. 

Maka marilah, sebelum Ramadan tiba, dan sebelum kita bermula dengan musim ibadah puasa yang diwajibkan Allah ini, kita pertingkatkan iman di dalam dada.  Kita bersihkan niat kita kepada Allah.  Kita kukuhkan keyakinan kita terhadap keagungan Allah. 

Ayuh, saudara-saudara sekalian, kita tanamkan rasa rindu untuk mendakap kasih sayang Allah.  Kita suburkan dalam hati kita rasa malu dan penyesalan di atas segala dosa kita terhadap Allah s.w.t. 

Mari kita lembutkan hati kita ini dengan mengikis segala sifat sombong dan takabbur.  Buanglah segala perasaan hasad dan dengki, segala rasa permusuhan dan benci terhadap sesama manusia.  Kita gantikan dengan keimanan yang tulus suci, yang dapat kita rasakan kemanisan dan keindahannya di dalam hati.

Sidang Jumaat sekalian,

Ayat 183 surah al-Baqarah ini diakhiri pula dengan kalimah       

              “supaya kamu bertaqwa”. 

Oleh itu, marilah juga kita tetapkan matlamat yang jelas untuk puasa kita nanti, iaitu untuk berjaya mempertingkatkan ketakwaan yang ada di dalam hati.  Jangan rasa cukup dan puas dengan kebaikan yang telah sedia kita miliki.  Pastinya masih banyak kekurangan pada amal dan ibadah kita, sepertimana masih banyak kekurangan pada tahap iman dan takwa kita. 

Ambillah contoh amalan dan hati budi Nabi, seperti yang dikisahkan awal tadi, yang tetap terus ingin beribadah dan bersyukur kepada Allah, biarpun telah dijamin pengampunan oleh Allah s.w.t.

Semoga Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang penuh bererti buat kita semua.  Rebutlah, dan hargailah, anugerah Allah ini.  Usah dipersia-siakan peluang yang ada, kerana tiada siapa yang dapat memberi jaminan bahawa umur kita pasti panjang untuk bertemu Ramadan tahun berikutnya pula.

 Majlis Ugama Islam Singapura

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: