Ramadhan Dan Pengemisan…

Hari ini ketika aku menglusuri berita di internet, ada beberapa berita yang menarik perhatianku. Terutama sekali topik pengemisan di bulan Ramadhan yang mulia ini. Sememangnya kita semua tahu, setiap kali Ramadhan menjelma setiap kali itulah para pengemis musiman akan muncul di Singapura mengharap simpati dan belas ikhsan dari ummat Islam Singapura.

Akhbar Berita Harian Singapura melaporkan bahawa, mereka datang dari negara sejauh Pakistan, Indonesia,  jiran terdekat Malaysia dan juga dari Singapura sendiri. Kita semua tahu kegiatan pengemisan di Singapura adalah menyalahi undang-undang dan boleh didakwa di mahkamah. Namun ini tidak menghalang seseorang itu dari terus mengemis kerana mereka tahu akan sifat dermawan dan murah hati penduduk Singapura. Bagi mereka, segala risiko yang diambil amat berbaloi sekali.

Pengemisan dilarang mungkin salah satu sebabnya adalah ia boleh menjejas imej Singapura di mata dunia. Para pelancong yang datang pasti bercerita dengan teman, rakan dan saudara mereka akan keadaan pengemis yang ramai sekali meminta-minta di jalanan. Mereka pasti memberikan gambaran yang tidak tepat dengan apa yang mereka lihat. Misalnya mereka tidak tahu yang majoriti pengemis adalah pendatang asing. Mereka akan mengatakan Singapura sebagai sebuah negara maju, kaya dan terkenal dengan keajaiban ekonomi masih dilanda masalah pengemisan dan jurang pendapatan rakyatnya terlalu besar sehinggakan ramai yang terpaksa mengemis.

Aku bukanlah seorang yang menentang pengemisan atau pro-pengemisan. Nasib kita berbeza-beza. Ada yang senang dan ada yang susah. Jadi tidak salah untuk kita membantu atau menghulurkan sedikit wang untuk yang memerlukan apatah lagi di bulan yang mulia ini. Melabur di dalam saham akhirat. Apa yang penting adalah keikhlsan.

BH_IMAGES_SJJAVE

Terima kasih Mercy Relief! Dari Bandung, Jawa Barat: SENYUMAN dan ucapan terima kasih. (Gambar oleh Berita Harian Singapura)

Kita di Singapura ini beruntung kerana jarang sekali kita dilanda musibah seperti yang dialami negara-negara lain. Ekonomi kita kian bangkit dari kesuraman. Politik di negara kita begitu stabil dan tiada isu-isu perkauman yang menjejas kehidupan seharian kita. Lihat sahaja negara- negara yang dilanda peperangan, bencana alam, penindasan kaum majoriti ke atas kaum minoriti, pengganasan dan banyak lagi. Kita makmur mungkin kerana doa-doa dari penduduk negara sedemikian. Negara-negara yang dilanda bencana alam, pasti dibantu oleh pasukan Mercy Relief kita. Dengan keiklasan negara kita membantu walaupun tidak seberapa, pasti meninggalkan kesan di hati para penerima bantuan dan inilah yang mendorong mereka mendoakan kesejahteraan dan kebaikkan untuk kita semua, agar dapat kita terus membantu.

Begitulah juga dengan pengemisan. Kita tidak tahu latar belakang mereka sama ada mereka benar- benar memerlukan bantuan atau mereka sengaja mengambil kesempatan dari sikap dermawan kita. Namun apa yang penting ialah keikhlasan kita sendiri. Manalah tahu secara senyap-senyap mereka mendoakan di atas segala pemberian dan kita semua tahu doa di bulan yang mulia ini adalah yang paling mustajab. Wallah hua’lam.

___________________________________________

BH_IMAGES_CFBEGGAR

PENGEMIS ANTARABANGSA: Pengemis berkopiah putih ini, yang dilihat di Geylang Serai, adalah antara puluhan warga Asia Selatan yang membanjiri negara ini setiap Ramadan bagi ‘memanfaatkan’ sikap murah hati masyarakat Muslim Singapura yang berlebihan dalam bulan puasa. — Foto TAUFIK A. KADER



12 Sep 2009

SINGAPURA

Pengemis asing Ramadan banjiri Singapura

Oleh
Chairul Fahmy Hussaini Dan Safhras Khan

ADA melakukannya sendirian dan ada pula secara berkumpulan. Yang buta pula menggunakan ‘tekong’ untuk memandu jalan.

Itulah antara gelagat pengemis asing semasa Berita Harian membuat pemerhatian ke atas mereka di sekitar kawasan Geylang Serai dan Masjid Sultan selama tiga hari barubaru ini.

Ada yang semasa ditemui tidak segan silu menunjukkan wang kertas setebal lima sentimeter yang telah diterima hasil ‘kerja keras’ mengemis dua hingga tiga jam sehari.

Kebanjiran pengemis asing di sini dek kemurahan hati penduduk Singapura yang mudah memberi wang kepada pengemis, baik dari dalam mahupun luar negara.

Ini diakui sendiri oleh beberapa pengemis yang ditemui. Tinjauan akhbar ini mendapati rata-rata orang ramai memberi wang kertas $2 atau lebihan duit syiling.

Kebanyakan pengemis lelaki warga asing berumur 30-an hingga lewat 40-an tahun, datang dari rantau Asia Selatan dan memakai baju lengan panjang atau ghamis, berseluar panjang dan berkopiah.

Ada daripada mereka berpakaian selekeh, membawa tongkat atau beg plastik ‘pasar’ merah mengandungi pakaian atau membawa bungkusan makanan dan air botol untuk mengelabui mata orang ramai demi menagih simpati.

Pengemis wanita pula, berusia lewat 30-an hingga awal 50-an tahun dan dipercayai datang dari Malaysia dan Indonesia. Ini dapat dipastikan setelah mendengar perbualan mereka dalam bahasa Melayu yang pekat dengan loghat daerah masing-masing.

Seperti pengemis lelaki, mereka berpakaian selekeh, dengan baju dan tudung tidak sepadan warna.

Ada daripada mereka membawa anak sebagai helah untuk meningkatkan simpati orang ramai.

Malah, ada pengemis wanita ini didapati cukup masak dengan selok-belok kawasan tempat mereka mengemis – wartawan terdengar perbualan mereka membincangkan kawasan yang ingin mereka tuju selepas selesai mengemis di satu-satu tempat.

Merumuskan kebanjiran pengemis asing di sini, Encik Razak, seorang Penduduk Tetap (PR) asal Iran, yang menjual permaidani di bazar Geylang Serai, berkata kebanyakan pengemis asing ini ‘penipu’.

‘Saya lihat pengemis asing dari Asia Selatan ini rata-rata sihat dan tegap dan seharusnya bekerja. Kelihatannya mereka malas dan ambil jalan mudah untuk mendapatkan wang,’ kata Encik Razak, 48 tahun.

____________________________________________________________________________________________

12 Sep 2009

SINGAPURA

LAPORAN KHAS: PENGEMIS
‘Assalamualaikum. Tolong beli ayat ini, Encik’

Pengemis ambil kesempatan sifat dermawan masyarakat

Masyarakat Singapura memang dikenali dengan sikap dermawan mereka. Disebabkan itu pengemis warga asing tidak putus-putus mendatangi negara ini. Bagi pengemis dari Asia Selatan dan Asia Tenggara, mereka lebih gemar membanjiri Geylang Serai dan beberapa kawasan tumpuan masyarakat Melayu/Islam setiap kali tibanya Ramadan. Selama tiga hari, wartawan Berita Harian, SAFHRAS KHAN dan jurugambar, MOHD TAUFIK A. KADER, menjejaki pengemis-pengemis itu. Ikuti laporan khas mereka.

MENGENAKAN songkok haji sambil bertutur dengan cara lembut, beliau menghampiri ‘mangsanya’ di tempat meletak kereta dekat Tanjong Katong Complex.

Apabila melihat seseorang yang sedang berjalan, lelaki tinggi lampai itu mengekorinya sebelum menyapa dalam bahasa Inggeris: ‘Assalamualaikum, please buy these ayat. I am poor. Please help me, Sir.’ (Assalamualaikum, tolong beli ayat-ayat ini. Saya ni orang susah. Tolonglah saya, Encik.)

Demikian rata-rata gelagat peminta sedekah warga asing yang menggunakan helah menjual kad berlaminat ayat-ayat suci Al-Quran untuk mendapatkan wang daripada orang ramai.

Pengemis asal Asia Selatan itu lazimnya tiba di sini bagi ‘memanfaatkan’ sikap dermawan masyarakat Islam di sini pada bulan Ramadan. Bagi meraih ‘hasil’ maksimum, pengemis-pengemis itu menjalankan kegiatannya di kawasan bazar.

Walaupun ‘mangsa’ peminta sedekah tadi enggan membeli ayat-ayat tersebut, pengemis itu tidak berputus asa. Pengemis itu mengekori ‘mangsanya’ hingga beliau dapat apa yang dikehendakinya. Jika gagal, beliau akan melemparkan pandangan yang hampa dan berjalan ke arah mangsa lain.

Tinjauan Berita Harian (BH) mendapati peminta sedekah selalunya akan menghampiri mereka yang sedang berjalan menuju ke kereta mereka. Sebaik didekati, pengemis akan mula menguntum senyum, memberi salam dan barulah menyatakan hasratnya – meminta derma.

Seorang daripada mereka mengenalkan dirinya sebagai Mushtad Ahmad dari Kashmir, Pakistan, yang mendakwa beliau menaiki pesawat ke Singapura.

Apabila diberitahu bahawa wartawan juga berketurunan Pakistan, Mushtad kelihatan gembira dan sedia buka cerita.

‘Saya menjual kad-kad ini untuk mencari duit agar saya boleh pulang ke Pakistan dan menyambut Aidilfitri. Tak mahal Encik, sekeping hanya $2,’ ujarnya.

Menurut Mushtad, beliau sudah berada di Singapura sejak hari pertama Ramadan dan berharap akan mendapat sekurang-kurangnya $500 sebelum pulang.

Duit itu akan diguna untuk pulang ke Pakistan dan menyambut Hari Raya bersama keluarganya. Menurutnya, kad-kad itu dibawa bersama dari Pakistan untuk dijual di sini.

‘Orang Singapura murah hati dan tidak sukar untuk saya menjual kad-kad ini. Pertolongan yang diberi dapat membantu saya,’ katanya.

Mushtad berkata untuk menjimat wang, beliau bermalam di Masjid Angullia di Serangoon Road. Kira-kira 10 pagi, beliau akan menaiki bas ke kawasan Geylang untuk menjual kad-kad tersebut dan selepas selesai ‘berniaga’, beliau pulang ke masjid tersebut.

‘Saya harus berjimat jika saya mahu mendapatkan sasaran saya. Sebagai contoh, saya akan beriftar di Masjid Khalid. Di sana, saya dapat makan dan berehat seketika sebelum pulang bermalam di Masjid Angullia.’

Bagaimanapun, Mushtad, yang kelihatan sihat dan tegap, enggan memberitahu jumlah kad yang beliau dapat jual sehari.

‘Cukuplah apa yang saya perolehi. Selama dua minggu saya di sini, saya sudah dapat kumpulkan $300. Tetapi duit tu belum cukup lagi,’ katanya, sambil menambah beliau memerlukan lagi $200.

Pemerhatian kru BH selama sejam mendapati ramai yang memberi wang kepadanya.

Setiap kali Mushtad menerima sumbangan wang daripada orang ramai, beliau akan mengangkat tangan ke langit seumpama berdoa. Beliau turut meminta wartawan ini mendoakan agar beliau dapat menemui sasarannya sebelum akhir Ramadan.

‘Anda pun berketurunan Pakistan. Mungkin anda boleh memberi saya $200 agar saya boleh pulang esok,’ katanya sambil tersenyum.

______________________________________________________________________________________________

12 Sep 2009

SINGAPURA

LAPORAN KHAS: PENGEMIS
Wartawan ekori pengemis asing dipercayai ‘ditaja’ sindiket

USAHA menjejaki pengemis telah membawa wartawan dan jurugambar Berita Harian (BH) ke satu episod kejaran Jumaat lalu.

Langkah itu bertujuan untuk mengetahui taktik mengemis mereka dan menjejaki sindiket-sindiket yang ‘menaja’ mereka.

Ia bermula apabila wartawan dan jurugambar BH, Mohd Taufik A. Kader, mengesan kehadiran sekumpulan pengemis asing dekat Pusat Makanan Haig Road sekitar 4 petang itu.

Pengemis empat orang wanita itu – kesemuanya berkulit sawo matang – berpakaian agak selekeh dan bertudung.

Memerhatikan mereka, pengemis itu tidak meminta sedekah secara terbuka tetapi akan menghampiri sesebuah gerai dan berdiri di hadapannya sehingga pegerai atau pembantunya memberi mereka wang.

Dari pusat makanan Haig Road, mereka kemudian berjalan ke arah Hotel Lion City.

‘Kau jangan ikut dekat-dekat, nanti dia orang tahu. Kita split (berpisah), kalau apa-apa call aku,’ kata Taufik kepada penulis.

Mengekori mereka dari jauh agak sukar kerana orang terlalu ramai di depan Hotel Lion City.

Tetapi usaha menjejaki mereka berhasil apabila mereka dilihat sedang menuju ke Tanjong Katong Complex.

Kru BH yang bergegas ke sana kemudian mendapati kumpulan empat pengemis itu ke tingkat dua pusat membeli-belah itu.

Mereka berhenti di hadapan beberapa kedai di situ sebelum meminta wang.

Sebaik sahaja mendapat duit daripada pekedai, mereka beredar ke kedai lain.

Apabila wartawan menghampiri mereka, kedengaran wanita-wanita itu berbual dalam bahasa Melayu dengan loghat asing.

Namun, kehadiran kru BH itu disedari kumpulan tersebut selepas hampir sejam mengekori mereka dari Pusat Makanan Haig Road hingga ke Tanjong Katong Complex.

Menyedari mereka diekori, kumpulan itu segera meninggalkan pusat membeli-belah itu sebelum tergesa-gesa menyeberangi Changi Road tanpa mengendahkan keselamatan di jalan raya yang sesak pada masa itu.

Mereka kemudian menunggu bas di perhentian bas di depan Pusat Makanan Haig Road sebelum menaiki bas nombor 51.

Penulis juga menaiki bas yang sama dengan tiga wanita itu sementara Taufik kekal di Geylang Serai.

Ketika di dalam bas, wajah empat wanita itu jelas kelihatan resah kerana diekori sebelum mereka mula berbisik-bisik sesama sendiri.

Selepas perjalanan selama 10 minit, mereka kemudian bergegas turun dekat kawasan Masjid Sultan sebelum berpecah.

Tiga daripada mereka meluru ke arah Jalan Kubor dan seorang lagi berjalan dengan pantas ke arah Kandahar Street.

Penulis cuba menyeberangi North Bridge Road tetapi kesesakan lalu lintas menghambat usaha mengejar mereka.

Sebaik tiba di Jalan Kubor, ketiga-tiga wanita itu dilihat berlari ke arah Rochor Canal Road sebelum terus menghilangkan diri ke arah Kelantan Road.

Percubaan penulis untuk terus mengesan mereka gagal, sekali gus mengakhiri usaha mengekori mereka selama dua jam yang berakhir sekitar 6 petang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: