Komentar Lidah Pengarang

 

Pengajaran Melayu Singapura (Utusan Malaysia 12 September 2009)

PENULIS mengikuti Program Lawatan Wartawan ASEAN dan program Meja Bulat Media ASEAN di Singapura dari 3 hingga 10 Ogos lalu. Ia adalah program yang keempat.

Program itu memberi peluang bertemu dengan editor-editor kanan dari Asia Barat, yang kebetulan menyertai Program Lawatan Wartawan Asia Barat – juga kali keempat.

Selain itu ia turut memberi kesempatan bertemu editor kanan dari beberapa akhbar utama di China dan India yang mengikuti Program Lawatan Wartawan Asia pertama.

Kesemua program lawatan itu dianjurkan secara berasingan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Singapura sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara itu pada 9 Ogos. Republik itu menyambut ulang tahun ke-44 selepas mencapai kemerdekaan dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Ini kali ketiga, penulis menjejakkan kaki di bumi Temasek. Pertama ketika berusia lima tahun, beberapa bulan sebelum republik itu merdeka dan kali kedua pada 1984, sejurus selepas memulakan tugas sebagai wartawan.

Walaupun selepas itu beberapa kali berada di republik tersebut, ia hanya sekadar transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

Setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki di bumi Singapura, memang satu ‘kejutan’ melihat pembangunan begitu pesat di negara itu.

Kemajuan pesat di republik ini pasti menjadi kebanggaan setiap warganya. Tetapi perasaan penulis hiba menyaksikan panorama hutan batu ini.

Apabila menaiki kereta menyusuri lorong lorong, jalan dan lebuh raya di negara pulau ini, hati terasa pilu apabila melihat kampung-kampung Melayu bertukar menjadi taman perumahan moden yang diisi dengan blok-blok rumah pangsa, apartmen dan kondominium. Pekan-pekan kecil di Geylang Serai, Beduk dan pinggir Woodlands bertukar menjadi pusat bandar yang moden.

Kalau dahulu, orang Melayu yang merupakan penduduk asal tinggal berkelompok di kampung tradisi, kini mereka menjadi penduduk minoriti dengan hanya menguasai 13.6 peratus daripada 4.7 juta penduduk Singapura. Penempatan mereka telah berpecah-pecah.

Panorama penduduk Melayu tinggal berkelompok dalam komuniti mereka di kampung tradisi Melayu hanya menjadi kenangan, tinggal menjadi sejarah dan nostalgia hiba. Siapa hendak dipersalahkan?

Mungkin masyarakat Melayu di sana boleh menerima realiti itu kerana faktor kekurangan tanah di republik tersebut.

Hati semakin terusik apabila melihat ada orang Melayu yang menjadi peminta sedekah. Pegawai yang mengiringi rombongan wartawan ASEAN memberitahu, mereka itu bukan rakyat Singapura tetapi dari Johor.

Penulis sukar menerima penerangan itu kerana kalau rakyat Malaysia di Johor hendak mengemis mengapa perlu pergi ke Arab Street di Singapura. Bukankah Johor Bharu juga cukup besar dan banyak dermawan?

Perasaan semakin tersentuh ketika melawat Istana Kampung Gelam di Sultan Gate yang dibina pada 1840 di pinggir Lebuh Arab. Ia kini telah bertukar wajah menjadi Pusat Warisan Melayu.

Ketika melawat pusat itu, penulis terkenang kisah perjuangan hingga ‘ke titisan terakhir’ bekas kerabat terakhir kesultanan Melayu Singapura.Mereka tinggal di situ untuk mempertahankan istana tersebut, satu-satunya tanah milik waris Sultan Singapura terakhir, Sultan Hussain Shah di negara itu daripada ‘dirampas’ oleh kerajaan.

Akhbar Utusan Malaysia turut menyiarkan laporan mengenai kisah perjuangan tersebut ketika ia berlaku sekitar 1998-1999 sehingga istana itu diambil alih oleh kerajaan Singapura pada 1 Disember 1999.

Ia berkesudahan dengan kekalahan waris keluarga diraja itu untuk mempertahankan istana tersebut. Semuanya demi tuntutan pembangunan. Mereka terpaksa mengosongkan istana di atas tanah seluas 1.2 hektar di Kampung Gelam itu bagi membolehkan pembinaan Pusat Kebudayaan Melayu.

Orang Melayu Singapura akur dengan realiti semasa, terpaksa melepaskan segala-galanya kerana sistem dan polisi kerajaan menghendaki begitu, selain desakan keadaan.

Sistem meritokrasi, pemerintahan sekular dan multiracialisme, tiga prinsip utama yang menjadi tunjang kepada pembentukan polisi kerajaan Singapura yang dipupuk oleh Lee Kuan Yew sejak merdeka telah menukar bukan sahaja landskap bumi Singapura, tetapi juga menghakis identiti orang Melayu di republik ini menjadi “Melayu baru”. Itulah harga kemajuan dan pemodenan.

Bagaimanapun, orang Melayu Singapura harus bersikap objektif, menerima hakikat bahawa sejarah tidak boleh diubah, tetapi kita semua harus belajar daripada sejarah.

Segala-gala yang berlaku ke atas Singapura menjadi pengajaran penting kepada Malaysia.

Tidak cukup setakat itu, selepas meratap hiba kehilangan Pulau Temasek, rakyat Malaysia terus berduka akibat kehilangan Pulau Batu Putih pada Mei tahun lalu, apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Pedra Branca adalah milik Singapura, juga kerana kesilapan silam.

Bukan itu sahaja, penduduk Malaysia, terutama orang Melayu tidak dapat melupakan peristiwa kegagalan projek “jambatan bengkok”, yang bertujuan menyambungkannya dengan Tambak Johor di sebelah Singapura, setelah negara itu enggan memberi kerjasama kepada pelaksanaan projek tersebut.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ketika ditanya mengenai keengganan Singapura merobohkan Tambak Johor yang berusia hampir 100 tahun bagi digantikan dengan jambatan baru berkata, keadaan tambak itu masih baik dan masih berfungsi. Maka tidak ada sebab mengapa kerajaan Singapura harus merobohkannya.

Itu adalah sebahagian siri kekecewaan dan cerita-cerita duka hiba yang dilalui oleh penduduk Malaysia setelah kehilangan Singapura.

Sejak 9 Ogos 1965 penduduk Singapura terus melangkah tanpa menoleh lagi. Kini hasil kerja gigih dan kerja keras pemimpinnya dengan sokongan rakyatnya, Singapura muncul sebagai negara maju.

Ketika meratapi perkara-perkara yang melukakan dan mengecewakan akibat kesilapan lampau, tidak salah kalau kita turut melihat ke depan. Melihat perkara-perkara positif di Singapura.

Kita tidak harus menafikan segala kemajuan yang dikecapi oleh republik ini adalah hasil sistem berkesan yang dilaksanakan oleh kerajaan Singapura selama 44 tahun sehingga berjaya membawa negara itu ke puncak kemajuan dan dikenali di seluruh dunia.

Dari sebuah negara yang tidak mempunyai sebarang sumber asli, kerajaan telah berjaya merubah republik itu menjadi pusat perindustrian, pusat kewangan dan perdagangan utama di Asia dan malahan di dunia.

Lapangan Terbang Antarabangsa Changi kini menjadi yang ketujuh tersibuk di dunia. Pelabuhan Singapura merupakan pelabuhan kelima terpenting di dunia.

Singapura kini turut mempunyai Litar Lumba F1 yang menjadi tumpuan dunia. Keunikan F1 Singapura bukan sahaja kerana diadakan pada waktu malam tetapi dijalankan secara bertentangan arah jam – satu daripada empat litar seperti itu di dunia.

Selain itu, hampir empat per lima daripada trek litar itu, yang meliputi sepanjang lima kilometer merupakan jalan awam yang digunakan setiap hari. Hanya satu kilometer sahaja daripada litar merupakan trek kekal.

Semua kemajuan ini adalah kerana sistem pentadbiran dan pemerintahannya yang berkesan.

Ini diakui oleh Hsien Loong bahawa Singapura bertuah kerana sistem yang diadaptasi di negara itu “menjadi” sehingga berjaya mengubah republik itu menjadi negara maju.

Beliau berkata, pemimpin Singapura bergerak mengikut keperluan semasa dan bersedia membawa perubahan tanpa melanggar tunjang utama yang menjadi panduan dalam merangka polisi negara itu (meritokrasi, pemerintahan sekular dan multiracialisme).

Oleh kerana itu, Singapura berjaya memupuk perpaduan antara kaum mengikut acuannya sendiri tanpa melanggar prinsip utama malah berubah dan bergerak bagi memenuhi kehendak prinsip tersebut.

Atas prinsip itu, pemimpin Singapura berani melaksanakan dasar yang drastik dengan menghapuskan sekolah-sekolah aliran Cina, Tamil dan sekolah-sekolah aliran agama pada 1975 dan menggantikan sistem pendidikan nasional bagi memupuk perpaduan. Penduduknya pula bersedia menerima perubahan itu dengan mengenepikan sentimen perkauman.

Mungkin pemimpin Malaysia juga boleh belajar menjadi berani untuk membuat perubahan radikal dan rakyat di negara ini pula tanpa mengira kaum bersedia dan berani menerima perubahan dalam sistem pendidikan dengan menjadikan kontrak sosial landasan demi mencapai perpaduan antara kaum seperti semangat yang dipupuk semasa kemerdekaan dahulu.

PENULIS ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia

One Response to “Komentar Lidah Pengarang”

  1. hmm tak sangka ada yg memuji negara ini dg baik sekali.tahniah singapore!

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: