Laporan oleh Harian Metro

Berikut adalah laporan yang disiarkan oleh akhbar Malaysia, Harian Metro. Penulis dan jurugambarnya membuat liputan mengenai rakyat Malaysia yang mencari rezeki dengan mengemis bila tiba bulan Ramadhan dan musim perayaan.

Gadai maruah ibu

Oleh Ibrahim Isa dan Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

hulur



SINGAPURA: Kerana wang, seorang anak dipercayai tergamak menggadaikan maruah ibunya dengan mengarahkan wanita lanjut usia itu berkeliaran di sekitar Masjid Sultan di sini, semata-mata mengejar kutipan sedekah yang saban hari mencecah S$150 (RM361) sempena Ramadan ini.

Wanita usia senja rakyat Malaysia itu diarah menadah tangan memohon belas ihsan jemaah masjid dan pengunjung bazar Ramadan sambil diperhatikan anaknya berusia 30-an yang berlegar di kawasan berkenaan.

Malangnya, kegiatan mereka yang menjadi amalan setiap Ramadan sejak beberapa tahun lalu, berbeza penghasilannya pada tahun ini apabila kutipan harian mereka merosot kira-kira S$80 (RM192) sehari, berikutan kemerosotan ekonomi yang turut dirasai rakyat republik berkenaan.

Apabila didekati, wanita berusia 50-an itu pada mulanya keberatan untuk berbual, namun selepas anaknya beredar seketika bagi menguruskan perkara lain, barulah dia mahu bersembang.

Wanita yang tidak mahu mendedahkan identitinya itu berkata, dia dan anak perempuannya menyewa sebuah bilik di Kampung Mohd Amin, Johor Bahru dan ke Singapura hampir setiap hari mencari rezeki dengan meminta sedekah.

“Kami melakukan kerja ini sejak beberapa tahun lalu dan ia ternyata membawa pulangan lumayan, jadi mengapa tidak diteruskan saja setiap Ramadan.

“Biasanya bermula Jumaat hingga Ahad, lebih ramai orang datang dari Malaysia untuk mengutip derma kerana jumlah pengunjung di beberapa kawasan tumpuan lebih ramai berbanding hari biasa.

“Namun, saya dan anak tak mahu memilih dan datang hampir setiap hari kerana pendapatannya tetap lumayan. Walaupun jumlah kutipan kecil, nilai mata wang Singapura lebih besar,” katanya.

Menurutnya, pada tahun sebelum ini, mereka boleh mendapat sehingga S$150 sehari, namun tahun ini kutipan harian paling tinggi hanya S$80, mungkin disebabkan kemerosotan ekonomi dunia yang semakin mencengkam penduduk negara pulau itu.

Perbualan kami kemudian terhenti apabila anak wanita itu datang semula ke situ dan mula menyuarakan rasa tidak puas hati kepada wartawan yang berbual dengan ibunya.

Mereka kemudian beredar dan menjalankan kegiatan itu di sekitar Masjid Sultan sebelum tidak lagi kelihatan menjelang berbuka puasa.

Sementara itu, usaha dua wartawan Harian Metro untuk bersama-sama meminta derma menemui jalan buntu, mungkin disebabkan faktor usia kami yang agak muda kerana penduduk republik itu dilihat lebih suka menghulurkan wang kepada warga emas.

Pelbagai helah dilakukan untuk menagih simpati dan memancing kemurahan hati warga Singapura itu, namun sukar sekali mendapatkan wang berbanding peminta sedekah warga emas terbabit.

Cubaan selama lebih sejam itu berakhir dengan hanya segelintir penduduk memberikan wang terutama syiling dengan jumlah terkumpul tidak lebih S$10 (RM24).

Keadaan itu jauh berbeza dengan beberapa pengemis warga emas yang dilihat tidak putus-putus menerima sumbangan orang ramai yang bersimpati dengan mereka.

Menjelang waktu berbuka, semua warga emas yang meminta sedekah kelihatan meninggalkan pekarangan Masjid Sultan dipercayai untuk membasahkan tekak dan menjamah makanan.

Kira-kira jam 8 malam, satu persatu peminta sedekah itu dilihat menuju ke Rochor Road bagi mengambil bas pulang ke Johor Bahru bersama hasil sedekah yang dikumpulkan seharian.

Mereka akan kembali semula ke Masjid Sultan pada keesokan hari bagi meneruskan kegiatan sama hingga menjelang Aidilfitri nanti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: