Lidah Pengarang

Pada tarikh ini ketika menglunsuri internet, aku seperti biasa pasti akan mengikuti atau membaca berita online dari negara jiran. Ada sebuah rencana yang menarik perhatian ku sehinggakan tergerak untuk aku sertakan di blog ini. Kepada para pembaca khususnya warga negara rumpun Melayu Singapura, kita sebagai kaum minoriti Singapura tidak seharusnya berasa rendah diri kerana kita juga mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum-kaum yang lain. Walaupun pelbagai masalah sosial masih membelenggu kita seperti penyalah-gunaan dadah, perceraian dan keluarga pincang, kita tidak seharusnya patah semangat. Usaha dan terus usaha pasti kita akan terus berjaya dan cemerlang dalam segala bidang yang diceburi. Yang pasti…. apa yang kita lakukan tidak kira baik atau buruk, ada mata (negara jiran) yang menilai dan memerhatikan kita….

Masjid Berlumba Kumpul Dana

Oleh ZAKARIA ABDUL WAHAB

Umat Islam di Singapura terpaksa berdikari bagi mengumpul dana untuk memperbaiki atau menaikkan taraf kemudahan masjid.

An-Nur

MASJID An-Nur di Jalan Admiralty yang dibina pada tahun 1980 kini kelihatan usang.


ru_022


PADA setiap waktu sembahyang Jumaat, khatib di masjid Al-Falah yang terletak berhampiran Jalan Orchard, tidak jemu membuat pengumuman di hujung khutbahnya bahawa masjid itu memerlukan sumbangan orang ramai untuk projek pengubahsuaian.

Hampir RM1.6 juta diperlukan bagi mengisi tabung projek pengubahsuaian untuk menaik taraf kemudahan masjid itu demi keselesaan dan manfaat para jemaah.

Projek pengubahsuaian itu melibatkan penukaran permaidani di ruang sembahyang, membesarkan ruang wuduk, pusat sumber, bilik mesyuarat, koridor masjid dan pelbagai lagi.

Sejak seruan itu dibuat oleh khatib masjid Al-Falah dari April hingga Disember tahun lalu, hasilnya kira-kira RM1.4 juta berjaya dikutip daripada sumbangan para jemaah sehingga hari ini.

Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Falah, Yahya Hashim berkata, masjid itu kini memerlukan kira-kira RM240 lagi untuk menyiapkan kesemua kerja pengubahsuaian yang telah dijalankan secara berperingkat.

Beliau berkata, walaupun kutipan wang belum mencukupi, kerja-kerja pengubahsuaian perlu dijalankan untuk membuktikan kepada jemaah masjid itu bahawa sumbangan mereka memang dibelanjakan bagi tujuan yang betul.

Setakat ini, masjid Al-Falah dapat mempertingkatkan kemudahan dan perkhidmatannya, menaik taraf dan membesarkan ruang wuduk, menambah bilik darjah, pusat sumber baru serta bilik kaunseling.

Katanya, menerusi projek pengubahsuaian yang dilakukan ke atas masjid tersebut, orang ramai akan lebih yakin untuk memberi sumbangan dan derma ikhlas mereka.

Masjid Al-Falah dan masjid lain di Singapura hakikatnya berdepan dengan situasi yang sama iaitu terpaksa berdikari bagi mengumpul dana untuk memperbaiki atau menaik taraf kemudahan masjid di kawasan masing-masing.

Masjid-masjid di Singapura yang kini berjumlah 69 buah kesemuanya juga terpaksa bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk bukan sahaja menyelenggarakan masjid malah menjalankan aktiviti keagamaan seharian.

Kos bina masjid ditanggung sendiri.

Kerajaan Singapura pada dasarnya memang tidak menyediakan peruntukan untuk pembinaan dan penyelenggaraan masjid kecuali dalam beberapa hal sahaja seperti penyediaan tapak tanah untuk pembinaan masjid di kawasan terpilih.

Kos pembinaan masjid di Singapura sejak dahulu sehingga kini ditanggung sepenuhnya umat Islam melalui sumbangan derma.

Hanya pada tahun 1975, kerajaan menubuhkan satu tabung iaitu Dana Pembinaan Masjid (DPM) di mana umat Islam Singapura memberi sumbangan mereka secara teratur dan tetap dengan menyalurkannya melalui Central Provident Fund (CPF).

Melalui dana itu, yang diuruskan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), sebanyak 23 masjid generasi baru yang mengandungi pelbagai kemudahan seperti madrasah dan pusat kegiatan masyarakat, selain tempat ibadat telah dibina sejak itu dengan kos melebihi RM239 juta (S$100 juta).

Tetapi dana itu tidak menyediakan peruntukan untuk pembaikan, penyelenggaraan atau pengubahsuaian serta operasi masjid.

Atas sebab itulah adalah lumrah untuk melihat masjid di Singapura sering berlumba-lumba sesama mereka untuk menarik orang ramai khususnya umat Islam memberi sumbangan wang ringgit bagi mengisi pelbagai tabung.

Dalam persaingan mencari dana, masjid-masjid ini menggunakan pelbagai kaedah termasuk pendekatan yang kreatif seperti mengadakan perlawanan golf amal, iklan dalam akhbar, jualan bazar, jualan barangan seperti buku dan kalendar Islam, dan makanan seperti nasi beriani dam dan murtabak.

Ada juga masjid seperti masjid En-Naeem di Tampines semasa mengumpul RM718,000 untuk dana pembangunannya mempelawa umat Islam memberi infaq dalam bentuk tunai dari RM600 hingga RM2,397 manakala masjid Al Abdul Razak di Jalan Ismail pula pernah menawarkan wakaf bumbung RM600 dan wakaf bangunan RM479.

Masjid Muhajirin di Toa Payoh, yang merupakan antara yang awal dibina melalui DPM, telah mengajak orang ramai berkongsi wakaf dengan menyumbang RM12 untuk seketul batu-bata, RM28 untuk sekaki persegi permaidani, RM240 untuk sekaki persegi bilik darjah, selain bersedekah barang perhiasan emas untuk dana pembangunan semula yang menelan belanja RM16 juta.

Selain masjid, madrasah di Singapura juga terpaksa berharap kepada sumbangan orang ramai untuk mengadakan kemudahan prasarana, tenaga pengajar dan menjalankan kelas-kelas serta program agama mereka.

Tetapi mulai tahun ini, masjid generasi pertama dan madrasah tertentu tidak lagi akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan dana untuk membaikpulih masjid atau kegiatan pendidikan agama mereka.

Ini kerana Parlimen Singapura pada November lalu telah meminda Akta Pentadbiran Hukum Islam supaya DPM melebarkan peranannya iaitu dana yang dikutip boleh digunakan untuk membaikpulih masjid dan diagihkan untuk kegunaan madrasah.

Melalui pindaan akta itu juga, umat Islam Singapura yang berpendapatan tetap bulanan diminta menambah sumbangan wajib mereka kepada tabung DPM.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa mencadangkan akta itu dipinda berkata, sudah sampai masanya dana itu digunakan untuk program peningkatan masjid memandangkan pembinaan masjid baru di Singapura sudah selesai.

Beliau berkata, banyak masjid generasi pertama yang dibangunkan kira-kira 30 tahun lalu di bawah DPM telah menunjukkan tanda-tanda usang seperti masjid An-Nur di Woodlands yang dibina pada tahun 1980.

Lee berkata, masjid-masjid lama itu memerlukan nafas baru dengan membaik pulih dan menambah kemudahannya seperti bilik kegiatan untuk remaja serta membina lif dan laluan khas untuk jemaah warga emas.

Beliau juga mencadangkan dana itu disalurkan kepada Yayasan Mendaki, sebuah pertubuhan sukarela yang membantu orang Melayu dan umat Islam bagi tujuan menolong keluarga Melayu Islam yang pincang.

Dengan berkuatkuasanya pindaan akta itu kini, mulai bulan ini, umat Islam di Singapura diwajibkan menambah sumbangan sekurang-kurangnya satu dolar kepada dana ini iaitu dari RM4.80 sebulan sehingga RM38 sebulan, bergantung kepada pendapatan tetap bulanan masing-masing.

Lebih dana dapat dikutip

Dengan pindaan akta itu juga, DPM dijangka dapat mengumpul kira-kira RM31 juta setahun, yang sebelum ini hanya kira-kira RM24 juta setahun daripada kira-kira 200,000 penduduk Islam Singapura yang layak menyumbang.

Dengan itu juga, masjid lama yang dibangunkan di bawah DPM seperti masjid Al-Ansar di Bedok yang dibina pada 1981 dan masjid yang disebut oleh Perdana Menteri Lee iaitu masjid An-nur di Jalan Admiralty yang mengalami kebocoran dan usang, sudah pasti akan dibaikpulih tidak lama lagi.

Tetapi masjid wakaf atau yang dibina lama dulu oleh masyarakat Islam setempat akan terus terpaksa berdikari dalam mencari dana sendiri.

Manakala madrasah yang akan mendapat faedah secara langsung daripada pindaan akta itu ialah madrasah Al-Junied Al-Islamiah, Al-Arabiah Al-Islamiah dan Al-Irsyad Al-Islamiah yang dananya diurus oleh MUIS. .

Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, Dr. Yaacob Ibrahim yang telah membentangkan pindaan akta itu, berharap dana itu dapat dibelanjakan dengan cermat dan telus serta sebahagian daripada dana itu juga masih boleh disimpan untuk pembinaan masjid baru di Singapura pada masa depan.

Jelas sekali, umat Islam di Singapura walaupun merupakan penduduk minoriti dilihat mampu berdikari dan begitu aktif dalam memainkan peranan mengembangkan syiar Islam serta membangunkan ummah di republik ini. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: